Khamis, 3 Mei 2012

SITUASI YANG MAKRUH MEMBERI SALAM






Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

1. Memberi salam kepada orang yang sedang buang air. Dalam hal ini, dimakruhkan memberi salam. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut.

2. Orang yang sedang tidur atau mengantuk.

3. Mengucapkan salam kepada orang yang sedang azan, iqamat dan sembahyang.

4. Orang yang makan sedang makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab salam itu. Akan tetapi jika dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.

5. Ketika sedang khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi berpendapat, makruh memberi salam kepada jamaah yang hadir, kerana mereka disuruh untuk berdiam diri mendengarkan khutbah.

6. Orang yang sedang membaca al-Qur’an, menurut pendapat Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qur’annya dimulai lagi dengan Isti‘adzah 

7. Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Tetapi jika dia diberi salam, maka dijawabnya salam itu dengan lisan (bukan dengan isyarat).

8. Makruh juga hukumnya jika seseorang itu memberi salam dengan mengatakan ‘alaikassalam’ sungguhpun begitu, wajib dijawab salam tersebut, kerana ianya termasuk dalam kategori salam, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Jurai al-Hujaimi Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku berkata : Ya Rasulullah! Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jangan awak katakan “alaikassalam” kerana sesungguhnya ucapan “alaikassalam” itu adalah salam untuk orang-orang yang telah mati.” 

(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Termizi)

9. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan dari Jabir Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Maksudnya: “Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.”

(Hadis riwayat an-Nasa’i)

Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada ِAsma’ Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.”

(Hadis riwayat at-Termizi) 

10. Menentukan salam kepada seseorang atau kumpulan tertentu. Kita ditegah menentukan salam kepada seseorang yang tertentu, kerana salam bertujuan kemesraan, damai dan persaudaraan. Jika menentukan salam, ianya akan menimbulkan buruk sangka serta perasaan iri hati yang membawa kepada permusuhan. 
Dalam hubungan ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjadikan salam itu sebagai cara penghormatan bagi ummat kita juga sebagai tanda kesejahteraan bagi orang-orang Zimmi yang ada dalam lindungan kita.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...