Ahad, 3 Julai 2011

Masalah Mencari Jodoh: Malu Tetapi Mahu


by Pak Ngah - Farit Ismeth Emir

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang? Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!

Jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya. Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.

Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.

Dalam proses itu Nurfaisah mula-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya. Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah. Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.

Oleh itu, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...