Sabtu, 22 Oktober 2011

Kenapa Anda Lambat Bertemu Jodoh?

1. Usaha Kita Belum Sempurna - Usaha sudah dibuat tetapi usaha yang sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai itu tidak dilakukan. Usahanya masih belum betul, masih belum sempurna. Ada orang sudah mandi bunga sampai 99 kali tetapi masih tidak bertemu jodoh. Kenapa? Mungkin dalam perancangan Allah, usahanya ialah mandi air bunga 101 kali, tetapi dia berhenti pada tahap 99 kali.’ Mesejnya ialah, mungkin kita patah semangat di tengah jalan. Oleh itu, cuba dan cuba lagi.

2. Diri Kita Belum Benar-Benar Bersedia - Pasangan sudah ada tetapi orang yang hendak mencari jodoh itu belum benar-benar bersedia. Adakah anda benar-benar bersedia untuk menjadi suami atau isteri? Adakah sudah bersedia di segi hati, jiwa, fizikal, mental, dan kematangan.

3. Kita Tidak Ada Daya Penarik - Diri kita macam magnet yang boleh menarik bakal pasangan kita atau sesiapa pun untuk sayang pada kita. Daya tarikan ini berpusat di hati. Caranya ialah dengan mengisi hati kita dengan sifat-sifat yang sempurna dan positif. Kalau kita benci pada orang, takut-takut orang yang patut sayang pada kita masih tertahan untuk meminang. Jadi cuba maafkan semua orang. Mudah-mudahan dengan sebab memaafkan semua orang, orang yang bakal jadi tunang akan datang meminang. Kita perlu perbanyakkan istighfar, solat taubat, solat hajat, istikharah, witir dan sebagainya untuk cuci hati kita. Maka hati kita akan jadi magnet untuk menarik orang yang sesuai dengan kita untuk mudah datang, sama ada bakal pasangan atau sesiapa saja.

4. Doa Kita Tidak Makbul - Kita berdoa untuk mendapatkan jodoh. Allah s.w.t. telah berfirman: “Mintalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan.” Persoalannya, kenapa masih tidak bertemu jodoh? Salah satu punca doa tidak makbul ialah hati masih kotor, rezeki masih belum berkat, zakat masih belum sempurna dan sebagainya. Hati yang masih kotor bermakna masih benci atau sakit hati pada orang.

5. Restu Ibu Bapa Belum Sempurna - Jodoh tidak sampai juga mungkin disebabkan restu emak bapak tidak sempurna. Emak bapak masih rasa tidak berapa sedap untuk lepaskan anaknya. Tanya pada emak, ‘Mak benar-benar redha tak saya berumahtangga?’ Ada emak yang anak sulungnya tak mahu dilepaskan, anak bongsu apatah lagi. Itu yang kadang-kadang susah hendak dapat jodoh. Emak mahu anaknya kahwin tetapi dalam hati masih tidak benar-benar redha untuk lepaskan. Ini satu masalah yang rumit.

6. Faktor Metafizikal - Kadang-kadang tidak bertemu jodoh juga disebabkan ada faktor-faktor metafizikal yang susah hendak dijelaskan. Contohnya terkena sihir atau gangguan ilmu hitam yang kadang-kadang susah hendak dijelaskan secara saintifik. Tetapi ini wujud dan berlaku. Sebab sihir sudah ada sejak zaman jahiliah dahulu sampai sekarang. Jika ini berlaku, carilah jalan untuk benteng diri kita atau pulihkan diri kita dengan cara-cara yang menasabah untuk mengatasi masalah belum bertemu jodoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...