(seperti diceritakan oleh Ustaz Abdullah Mahmood kepada Amierullah Al-Banjari Hamidy)
TIDAK siapa dapat menandingi kebolehan Nek Limah berpuasa. Masuk saja bulan Rejab dia mula berpuasa dan akan berakhir pada bulan Syawal. Maknanya Nek Limah akan berpuasa tiga bulan berturut-turut mulai bulan Rejab, Syaaban, Ramadan dan diikuti enam hari di bulan Syawal.
Ini tidak termasuk hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti awal Muharam atau hari Isnin serta Khamis setiap minggu. Nek Limah akan berusaha melakukannya untuk mencari ganjaran pahala.
Namun, tidak siapa menduga kematian Nek Limah, 69, begitu menyayat hati. Apa tidaknya, dia merupakan seorang wanita yang disifatkan amat kuat beribadat. Selain puasa, solat juga dia tidak pernah tinggal. Malah belum terdengar ada wanita menandingi Nek Limah beribadat terutama berpuasa selama tiga bulan berturut-turut di kampung itu sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun rahsia Nek Limah atau nama sebenarnya Halimah terbongkar beberapa bulan sebelum sampai ajalnya. Dia membuka rahsia kepada Raudah, 45, anak bongsunya termasuk seorang dua jiran yang kebetulan datang ke rumahnya.
Seminggu selepas itu dia menghembus nafas terakhir.
Sebelum itu lebih kurang empat bulan Nek Limah terbaring dengan tidak dapat mengangkat kaki serta tangan. Dia juga sering mengadu lapar. Bila anak atau cucunya suapkan, dia dapat habiskan sepinggan penuh nasi. Kadang-kadang minta tambah lagi sepinggan. Biasanya tidak sampai 10 minit selepas makan, Nek Limah akan muntah hingga habis apa saja yang dimakannya.
Begitu juga kalau mengadu dahaga. Dia boleh minum sebanyak dua kole atau lebih kurang dua liter sekali gus.
Berilah air apapun Nek Limah tidak pernah menolak. Air kopi atau teh, kalau seteko untuk dia seorang sahaja.
Selepas itu perlu berjaga-jaga kerana minuman itu akan tersembur keluar.
Biasanya bila sudah muntah Nek Limah akan minta makan semula. Kasihan juga anak cucu bila dengar dia lapar. Mahu tidak mahu terpaksa sediakan makanan dan tolong suapkan.
Beberapa minit kemudian, segala makanan akan terhambur keluar.
Pendek kata dalam sehari sehingga lima atau enam kali kena beri Nek Limah makan.
Sama keadaannya bila dia mengadu haus. Tidak sampai hati hendak biarkan dia menjerit minta air. Bimbang juga orang tua itu kempunan tidak dapat minum. Kadang-kadang dia minta air yang bukan-bukan. Kalau milo ais tak jadi masalah. Ini dimintanya air kelapa dicampur dengan air beras. Atau kopi dibancuh dengan air basuhan kaki.
Kalau air kelapa campur air beras tidaklah bermasalah sangat. Cuma bimbang orang tua itu sakit perut. Itupun kadang-kadang Raudah tipu dengan memasukan air dadih nasi. Air dadih lebih baik dari air basuhan beras. Tapi orang tua itu tahu Raudah menipu. Dia tidak mahu minum dan kadang-kadang membaling kole ke dinding. Nek Limah tetap mahu air kelapa campur air beras.
Raudah tidak tergamak hendak beri kopi sejuk dengan air basuhan kaki. Walau kaki bersih macam mana sekali pun, Raudah tidak akan buat untuk ibunya.
Biarlah orang tua itu merengek atau kempunan dia tidak sanggup buat.
Namun Nek Limah tidak perduli. Dia tetap mahu minum apa yang dihajatnya. Berilah alasan apa pun dia tidak terima. Yang tak seronok dihamputnya hingga benda dalam kain Raudah pun terkeluar dari mulut. Itu yang membuatkan Raudah naik angin. Kalau bukan ibu kandung memang tidak sanggup dia hendak jaga makan minum orang tua itu.
Sudahlah kencing berak kena diangkat.
Harapkan kakak mahupun abang Raudah seramai lima orang itu, datang sekejap-sekejap sahaja. Semua beri alasan sibuk dengan tugas.
Jika datang dan tidur di rumahnya dua malam sudah dikira cukup lama. Pernah kakak sulungnya datang pagi balik petang. Padahal rumahnya hanya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Perjalanan lebih kurang satu jam sahaja ke rumah Nek Limah di Tanjung Piandang, Perak.
Kalaulah Raudah tidak fikirkan kakak, mahu dihamputnya atau halau pulang. Buat apa datang kalau tolong salin kain ibu pun rasa jijik. Apatah lagi hendak basuh berak atau kencingnya. Tapi kalau komplen nombor satu. Ada saja tidak kena di mata kakaknya itu.
Selama empat bulan Nek Limah menderita di tempat tidur, boleh kata hanya Raudah seorang ambil berat. Dia tak kisah langsung mencuci kain terkena najis atau kencing ibu kandungnya.
'Kalau nak berkira tak berbaloi mak jadi kita waktu kecil'.
Sindirian begitu selalu terbit di mulut Raudah kalau kakak atau abangnya bercakap mengenai ibunya.
Bagaimanapun, Raudah amat sedih kerana sewaktu saat-saat akhir tidak ada siapa di sisi ibunya. Sedangkan sebelum itu, dia serta anak-anaknya tidak pernah tinggalkan wanita itu bersendirian. Mereka sudah menjangka hayat Nek Limah tidak lama, itu sebabnya bergilir-gilir menjaga orang tua itu. Kalau boleh tidak mahu dia pergi tanpa ada orang di sisi.
Bagaimanapun Allah SWT lebih tahu segala-galanya.
Sewaktu kematian Nek Limah semua nyenyak tidur. Tidak siapa ketahui bila waktu tepat dia menghembus nafas terakhir.
Sedar-sedar jasadnya dihurungi beribu-ribu semut. Dari hujung kaki hingga ke kepala termasuk dalam hidung, mulut, telinga serta kemaluannya.
Semut-semut itu pula pelbagai jenis. Ada berwarna merah, hitam serta berbelang. Ada yang hampir sebesar ibu jari tangan. Serangga itu menggigit ' serta memakan daging mayat Nek Limah.
Walaupun serangan semut itu dalam kumpulan yang banyak tetapi tidak pula nampak tubuh mayat semakin susut.
Raudah tidak sanggup melihat ibunya begitu. Dia berusaha membuang serangga itu tetapi makin dibuang bertambah banyak yang datang.
Raudah sendiri tidak tahu dari mana puncanya. Bila selak tikar tidak pula nampak serangga itu merayap, tetapi datangnya dari bawah tikar tempat pembaringan Nek Limah.
Akibat terlalu sedih melihat keadaan mayat ibunya, Raudah menangis sambil berdoa agar Allah SWT ampunkan dosa ibunya. Dia tidak lagi berupaya hendak menghalau beribu-ribu semut yang terlampau banyak itu.
Dalam pada itu dia berusaha juga menyembur dengan racun serangga tetapi usaha itu hanya sia-sia.
Akhimya Raudah terpaksa menyuruh anaknya memanggil salah seorang ahli agama di kampung itu. Hilang rasa malu Raudah menceritakan keadaan sebenar; "Ibu saya pernah mendedahkan dia sebenarnya tidak sebagaimana yang disangka penduduk kuat beribadat. Dia tidak pemah langsung berpuasa pada bulan Ramadan, apatah lagi pada bulan-bulan sunat yang lain. Cuma depan orang sahaja dia berlagak berpuasa.
"Puasa pada bulan Rejab dan Syaaban dia hanya berpura-pura sahaja. Kalau orang bertanya dia akan beritahu berpuasa. Orang yakin kerana lagaknya memang seperti orang berpuasa. Nampak letih dan tidak bermaya bila berjalan.
Rupa-rupanya kalau di rumah dia akan makan selagi daya.
"Begitu juga dengan solat fardu dan juga solat sunat. Hanya depan orang sahaja dia tunjuk alim. Macamlah tak pernah tinggal solat. Tetapi tanpa pengetahuan orang, solat fardu pun dia liat nak buat lebih-lebih lagi solat subuh."
Ahli agama itu beristifar panjang. Dia tidak sangka Nek Limah berkelakuan begitu. Ternyata semua orang tertipu dengan lagak orang tua itu.
Bagaimanapun dengan Allah SWT tidak siapa boleh menipu.
Dengan kejadian yang menimpa Nek Limah kira-kira 10 tahun lalu itu, sedikit sebanyak boleh dijadikan iktibar agar manusia tidak berpura-pura atau berlagak dengan suruhan Yang Maha Esa.
Setelah ahli agama itu berdoa, sedikit demi sedikit semut yang menghurung Nek Limah lenyap dari pandangan.
Tengah hari itu juga mayat ibu Raudah disemadikan di tanah perkuburan tidak jauh dari rumahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan