Halaman

Ahad, 20 Mei 2012

Cara Cara Untuk Elakkan Bercinta Dengan Suami Orang



Salahkah bercinta dengan suami orang? Mungkin pada sesetengah orang ianya tidak salah tetapi pada kebanyakkan orang, ia adalah perkara yang sangat perlu dielakkan dan kadangkala menjadi isu yang sentitif. Benar, kita tidak akan boleh melawan takdir tetapi sebelum itu kita seharusnya berusaha sehabis baik untuk mengelakkannya dari berlaku.

Jangan salahkan takdir jika kita tidak cukup berusaha. Tidak ada wanita dalam dunia ini yang ingin dimadukan. Sakitnya bila cinta dikhianati suami tiada siapa yang tahu melainkan si isteri itu sendiri. Anda sebagai wanita, sanggupkah bergelar perampas suami orang? Sanggupkah anda hidup bahagia di atas penderitaan dan air mata kaum sendiri? Ada sesetengah perempuan sanggup, tetapi saya tahu kebanyakkan dari wanita lain pasti tidak mahu bercinta dengan suami orang kan? Sebenarnya ada cara untuk mengelakkan anda semua dari bercinta dengan suami orang.

Orang kata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tiada alasan untuk anda jadi seorang perampas jika anda sudah berusaha sedaya upaya untuk mengelak dari bercinta dengan suami orang. Ada sesetengah wanita sebenarnya tidak cukup berusaha lalu menyalahkan takdir. Ada juga sesetengah wanita yang memang mahu mengahwini suami orang atas alasan lelaki itu sudah stabil dan boleh menanggungnya.
Tetapi, jika anda adalah seorang wanita yang tidak mahu hidup bahagia atas penderitaan wanita lain dan tidak mahu tertipu, ada beberapa tips yang boleh anda ikut untuk mengelakkan diri dari bercinta dengan suami orang.

 

Siasat latar belakang kawan lelaki


Semasa dalam tempoh berkawan, anda seharusnya bertemu dengan macam macam lelaki. Apa yang anda perlu lakukan setiap kali ingin berkenalan dengan lebih rapat dengan seorang lelaki adalah menyiasat latar belakang kawan anda itu. Tetapi ini tidaklah bermakna anda harus jadi stalker yang menyiasat setiap perkara yang dilakukannya seperti seorang yang psiko.

Anda hanya perlu selidik latar belakangnya. Siapa kawan kawannya, adakah dia sudah mempunyai pasangan? Apa pekerjaan dan di mana tempat kerjanya? Perkara perkara begini perlu anda ambil tahu jika anda membuat keputusan untuk berkenalan dengan dia secara rapat lagi. Ini juga adalah sebagai langkah berjaga jaga untuk mengelakkan anda ditipu.

Anda sebagai wanita juga harus tahu bahawa ada sesetengah lelaki sangat bijak melindungi status sebenar mereka. Jadi jika anda berkenalan dengan lelaki jenis ini, agak sukar sedikit untuk mengetahui sama ada dia sudah berkahwin ataupun belum. Tetapi ada tanda tanda yang menunjukkan si lelaki sebenarnya sudah berumahtangga.

Contohnya seperti, dia adalah seorang yang misteri, apabila dia berada bersama anda dan telefonnya berdering secara tiba tiba, dia tidak mengangkat panggilan itu, dia selalu berada di luar kawasan dan anda tidak boleh menghubunginya serta dia menggunakan kata kata yang sangat manis. Awas dengan tanda tanda ini. Siasat betul betul latar belakang kawan lelaki anda sebelum terlambat.

 

Jangan mula berkawan!


Bila sudah tahu dia sebenarnya adalah suami orang, jangan lanjutkan perkenalan anda dengan dia ke peringkat yang lebih tinggi. Cukuplah dengan sekadar menjadi kenalan. Anda tidak perlu menemaninya makan tengahari berdua sahaja atau menjadi tempatnya mengadu masalah. Dia sudah ada isteri, isterinya sepatutnya mendengar semua masalah dia, bukannya anda!
Jangan sesekali anggap, “alah takpe, cuma berkawan biasa saja”, kerana ia akan menimbulkan fitnah. Lelaki seperti itu banyak helahnya. Dia akan menggunakan bermacam cara untuk membuatkan anda cair kepadanya. Dia ada pengalaman. Sudah tentu dia tahu cara untuk menjinakkan hati wanita.

 

Beri peluang kepada lelaki bujang


Jika sebelum ini anda pernah kecewa dengan lelaki bujang, jangan sesekali beranggapan anda boleh hidup bahagia bersama suami orang pula. Lelaki tetap lelaki. Lelaki bujang dan yang sudah berkahwin cuma berbeza dari segi pengalaman. Itu sahaja. Tidak semua lelaki jahat. Begitu juga dengan wanita. Berilah keutamaan pada lelaki bujang.

Memanglah lelaki bujang tidak berpendapatan besar seperti suami orang, kerana yang bujang itu baru hendak membina hidup. Anda tidak harus membandingkan kerjaya lelaki muda dan yang sudah berusia. Pastilah ada banyak bezanya bukan? Ada banyak lagi lelaki bujang yang boleh menyayangi anda seperti yang anda mahukan.

Jangan hanya melihat kepada materialistik semata-mata. Jika anda membuat keputusan bercinta dengan suami orang, anda harus banyak makan hati dan berkorban. Nak tahu kenapa? Kerana dia sudah mempunyai isteri yang pasti menjadi keutamaan untuknya berbanding anda.

 

Ambil pengajaran dari kisah wanita yang bercinta dengan suami orang


Menjadi yang kedua tidak sebahagia yang anda bayangkan. Jika anda benar benar boleh berkorban dan tidak kisah mengalah, maka silakan. Anda boleh menjadi isteri kedua. Jika tidak, saya nasihatkan jangan kerana anda akan makan hati. Poligami dalam Islam dibenarkan tetapi ia tidak digalakkan. Jika isteri pertama beri kebenaran dan tidak kisah bermadu tiada masalah.

Tetapi jika dia enggan? Adakah anda sanggup bermusuh dengan madu anda untuk tempoh berpuluh puluh tahun lamanya? Tidak penatkah anda berebut suami? Ada poligami yang benar benar bahagia, tapi jumlah hanya sedikit. Sebagai seorang wanita, biar redha macam mana pun dia, pasti akan ada rasa kecil hati dan terluka. Itu hakikat.

 

Bayangkan anda berada di tempat seorang isteri


Bayangkan anda berada di tempat seorang isteri dan suami anda meminta izin kepada anda untuk bernikah satu lagi. Apa perasaan anda? Sanggupkah anda bermadu? Itu semua terpulang pada anda. Fikirlah betul betul sebelum membuat keputusan. Di akhir nanti, hanya anda yang akan menanggung semuanya sendiri.

Jika anda benar benar kuat dan tabah, ia mungkin tidak akan menjadi satu masalah buat anda. Fikirkan juga penerimaan keluarga anda. Bolehkah suami anda nanti bersikap adil? Bagaimana tentang pembahagian hari hari dan sebagainya. Terlalu banyak yang anda perlu fikir sebenarnya. Tapi apa apa pun, ingatlah bahawa jika kita menyakiti hati seseorang, satu hari nanti orang lain akan menyakiti hati kita pula.

Artikel ini tidak berniat untuk memperlekeh atau menolak hukum poligami dalam Islam. Cuma ia sebagai satu langkah untuk mengelak kaum wanita menjadi mangsa tipu daya sesetengah lelaki.
Berusaha sepenuhnya untuk mengelakkan perkara yang tidak di ingini terjadi, barulah selepas itu anda boleh meletakkan salah di tangan takdir. Jangan guna alasan takdir untuk menutup sesuatu kelakuan yang anda lakukan dengan sengaja. Orang kata, lebih baik mencegah sebelum keadaan menjadi parah, jadi anda harus berusaha sepenuhnya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi. Berhubungan dengan suami orang memang indah pada permulaan, tapi ada risiko besar yang harus anda tanggung nanti. Satu soalan untuk anda, jika dia boleh menduakan isterinya, pasti dia tidak akan teragak agak untuk ada yang lain pula lepas ini bukan?

Ambil dari sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan