Halaman

Ahad, 15 Mei 2011

Sesuci Syahadah


Subuh yang dingin ditemani gerimis yang masih renyai, namun angin melepasi jendela meyapa pipi gadis itu seakan-akan menunjukkan tanda-tanda ia masih belum mahu berhenti.

Golongan insan yang pertama akan menganggap gerimis ini adalah musibah yang menjadikan gerak hidup untuk mencari rezeki adalah sukar, hatta sukar juga bagi mereka melakukan aktiviti harian yang kadang kala menjadikan mereka lupa kepada Maha Pencipta.

Namun golongan insan yang kedua pula menganggap ia suatu rahmat, rahmat yang menyejukkan rekah-rekah bumi, rahmat yang mengisi kegembiraan bagi setiap tumbuhan dan binatang yang sudah lama mendambakan gerimis bagi memenuhi kitaran hidup mereka.

Bagaimanakah dengan diri ku? Hati kecil ini dahulunya pernah menjadi golongan yang pertama, hati yang menolak segala keindahan ciptaan Tuhan, hati yang sentiasa menyalahkan tiap kejadian Penciptanya.

"Arrrggggggghhhhhh... Habis lencun baju aku. Musim hujan tak menentu, selalunya hujan lepas Asar, tak sangka pulak lepas Zohor dah berdentum guruh di langit," keluh Azhar.

"Hahahaha... Siapa yang ajak berlari tadi? Engkau jugakkan? Padan muka kita, dahlah tak pernah nak berpayung," kata Haziq membidas.

"Habis tu, paper last ni engkau nak burn? Lagipun mana macho 'jantan perkasa' bawak payung!" Bidas Azhar sambil kedua sahabat karib ini tertawa serentak.

Azhar dan Amir Haziq merupakan sahabat karib sejak tahun satu mereka mendaftarkan diri sebagai pelajar jurusan Kimia Industri di Universiti Teknologi Malaysia . Kebetulan pula mereka juga sekolej di Kolej Rahman Putra. Persahabatan mereka amat akrab sehingga mereka digelar sebagai kembar tidak seiras.

"Eh, apa sudah jadi dengan engkau berdua ni? Dah tua-tua macam ayah orang pun nak main hujan lagi ke," celah Airin, seorang siswi cantik berbangsa Cina .

Amir Haziq yang duduk di sebelah Azhar dengan pantas mengambil beg kuliah yang selalu dibawanya lantas memeluknya bagi mengelakkan susuk tubuhnya yang lencun berkemeja T cerah daripada dilihat.

Azhar pula tidak gusar kerana baju kain kasa yang dipakainya berwarna gelap. Airin yang sedar dengan perilaku Amir Haziq melarikan pandanganya ke sudut hujung pintu dewan peperiksaan.

"Kamu tidak sejuk ke nanti waktu dalam dewan yang ber air-cond tu? " Pintas Nabiha selaku rakan sekelas yang juga merupakan ahli jawatan kuasa Kolej Tun Fatimah.

Azhar dan Amir Haziq cuma tersenyum memandang sesama mereka sambil menggigil kesejukan. Dalam masa yang sama pintu dewan pun sudah terbuka, dan para siswa dan siswi berpusu-pusu masuk ke dalam dewan mendapatkan tempat masing-masing.

Keempat-empat sahabat tersebut lantas bangun untuk turut sama memasuki dewan tersebut. Beberapa tapak sebelum kaki melangkah masuk ke dalam dewan, Amir Haziq terdengar satu suara, "Good luck Haziq." Tanpa menoleh dia amat yakin suara itu adalah suara siswi yang bernama Airin tadi.

Sebagai siswa dan siswi tahun akhir, banyak tugasan yang perlu disiapkan termasuklah Projek Sarjana Muda (PSM). Berbanding dengan pelajar tahun pertama, mereka selalunya diperkenalkan oleh barisan kepimpinan fakulti dengan istilah First Year Experience (FYE). Berlainan pula dengan pelajar semester akhir, mereka amat takut sekali dengan istilah FYE yang juga dikenali sebagaiFinal Year Extension.

Disebabkan itu mereka berusaha sehabis mungkin bergraduan dengan segulung ijazah lantas bergelar mahasiswa.

"Mahasiswa adalah pinjaman kepada universiti untuk memenuhkan ilmu di dada lantas apabila mereka telah keluar mereka mampu membela nasib masyarakat," monolog Haziq sendirian sambil tersenyum simpul melayari Blog Pelayarilmu.blogspot.com.

"Oit hang ni Haziq, orang lain duk sibuk tengah siapkan report akhir PSM hang pula sempat baca blog? Mana Airin dan buah hatiku Biha?" Azhar yang entah muncul dari mana tiba-tiba menjengah dalam keasyikan Haziq. Lantas Haziq memberikan sedikit ruang untuk sahabat karibnya itu duduk di sebelahnya.

"Hahaha, apalah engkau ni, jangan bertepuk sebelah tangan sudahlah, lagipun engkau dah bersedia ke tanggung dosa sebagai pemimpin keluarga?"Haziq ketawa dengan sedikit nada bersahaja namun mempunyai maksud mendalam.

"Dosa? Dosa apa pulak ni? Hang jangan berbunga-bunga boleh?" Tanya Azhar sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Semalam, aku ada bukak you-tube cari lagu kumpulan Edcoustic, mana tau terserempak pulak dengan video Ustaz Azhar Idrus punya ceramah. Haa... kan sama dengan nama kau tu, Cuma kau takde jambang macam dia je."

"Engkau ni nak mengata aku ke apa? Ish... geram betul! Cerita je lah, toksah pusing-pusing." celah Azhar. Dalam masa yang sama Airin dan Nabiha turut hadir dan duduk di hadapan siswa berdua itu.

"Maaflah kami lewat, makan di Arked Meranti tadi," Nabiha memulakan bicara. Arked Meranti memang terkenal dengan tempat untuk pelajar mendapatkan makanan dengan harga yang amat berpatutan.

"Alamak, nantilah kita sembang. Segan aku dengan diorang ni, lagipun nanti PA kita menjengah nanti tak ke haru nanti," Haziq bertingkah mencari helah untuk tidak memanjangkan topik.

"Haziq, awak sendiri kata dulu, kalau ada ilmu jangan kedekut. Cakap tak serupa bikin," sambil memulangkan paku buah keras, Airin memuncungkan mulut sebagai tanda protes.

"Bak kata Upin dan Ipin, betul! Betul! Betul!" Nabiha turut menunjukkan minat lantas membuatkan Haziq rasa serba salah.

"Baiklah sahabat bertiga ku sekalian, lain kali sebelum menyampuk bagi salam dulu, sebelum tu Airin, kalau awak tak faham awak dipersilakan untuk bertanya," seperti biasa Haziq melepaskan pandanganya jauh tidak memandang Airin dan Nabiha.

"Begini, saya dengar satu video ceramah dari Ustaz Azhar Idrus, seorang wanita apabila dikahwini, suaminya bertanggungjawab menanggung dosa yang dilakukan isteri selagi lelaki itu tidak cuba menegur isterinya daripada melakukan kesalahan."

"Owh, macam tu.. susah jugak jadi suami ni. Banyak benda kena fikir, aduhai," keluh Azhar.

"Itulah siapa suruh lelaki suka berjanji bukan-bukan, waktu couple, bulan bintang dikatakan boleh digapai, tapi lupa yang tanggungjawab mereka sebagai pemimpin terlampau besar," sedikit tinggi nada yang Nabiha tekankan. Azhar pula kini tunduk menahan rasa rendah hati.

"Itulah malangnya apabila semua itu bertunjangkan nafsu semata, " Haziq menambah.

"Nafsu? Normallah kan ?" tingkah Airin mohon penjelasan

"Airin, nafsu ada baik buruknya, yang buruknya jika nafsu ini hanya berlandaskan akal tanpa menimbang baik buruknya, bagi yang baik dia sentiasa melakukan sesuatu dengan waras. Sebagai contoh yang kurang patut, si boyfriend sanggup pakai kemas dan bergaya sampai habis minyak wangi berbotol-botol semata-mata ingin bertemu dengan buah hati, tetapi apabila menghadap Tuhan, kain pelikat tanpa baju cukup bagi jejaka ini sebagai syarat solat, nak sedekah pun macam Haji Bakhil.. Ops maafkan saya Airin kalau kau kurang mengerti," Haziq terlupa yang Airin bukanlah beragama Islam.

"Its ok Haziq, I understand what you are talking about, keep going ," Airin menongkat dagu menunjukkan minat.

"Disebabkan itu kebanyakan selepas berkahwin banyak pasangan yang tidak sehaluan, manis couple telah habis, yang tinggal caci maki, malangnya kalau ada kes cerai berai, kejarkan sangat harta dunia tanpa mempedulikan agama, dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Bertambah malang lagi zaman sekarang ini kes pembuangan bayi merata-rata."

"Eh, kenapa mata kau merah Airin?" sampuk Azhar. Haziq menghentikan hujah apabila melihat mata Airin mula merah bergenang air mata. Dalam hati Haziq terasa ingin tahu, apa yang berlaku sebenarnya.

"Tidak ada apa-apa, masuk habuk je," balas Airin sambil mengesat mata dengan tisu yang dibawa.

Tak..! Tak..! Tak..! Bunyi kasut tumit tinggi yang menghampiri membantutkan perbincangan empat sahabat itu, Pn Rohaida penasihat akademik (PA), yang juga merupakan penasihat projek sarjana muda bagi empat sahabat ini. Beliau adalah seorang pensyarah yang amat penyayang dan memahami.

Suasana petang itu membawa seribu tanda tanya dalam hati Amir Haziq. Apa disembunyikan oleh Airin. Airin merupakan seorang gadis yang lahir dalam keluarga yang mewah. Sikap gadis itu sukar diduga. Kadang kala kesopanannya mengalahkan perempuan melayu yang dikenalinya. Tetapi setiap kali dibawa topik mengenai ibu bapa dia akan cuba melarikan diri dan kadang kala marah. Namun petang itu membawa suasana yang berbeza apabila air mata yang mengalir. Dia dapat merasakan duka yang terpendam di sebalik mata cantik gadis itu.

Dalam tidak semena-mena hati Haziq berdebar? Hatinya membentak keras dan bermonolog."Aku jatuh cinta? Itulah kau ni Haziq tak menjaga pandangan. Panahan mata berbahaya! Mampu menggugah iman! Tapi apa salahnya andai aku ikhlas... Lagipun tidak lama lagi aku akan bergraduan, dan tidak salah andai aku mula mencari pelengkap hidupku... Argghhhh!!! Mustahil Haziq, mustahil! Dia bukan Islam!, dia Ateis! Dia sendiri mengatakan itu di hadapan kelas ketika kelas Hubungan Etnik 2 tahun yang lalu sehinggakan pada waktu itu dia mencerca semua agama, dan disebabkan itu dia dihadapkan ke hadapan pensyarah-pensyarah kanan fakulti," Haziq beristirfar panjang jauh di sudut hatinya.

Petang itu beberapa orang pelajar sibuk membersihkan peralatan ujikaji di makmal eksperimen untuk dipulangkan semula. Ini adalah bagi memudahkan urusan bagi pelajar akan datang yang akan menggunakan peralatan-peralatan tersebut bagi menyiapkan PSM mereka.

"Awak pun datang kemas barang eh? Mana Biha dan Azhar?" Airin memulakan bicara.

"Tak adalah, saya tengah cuci baju dalam makmal ni.. Mereka dah datang pagi tadi rasanya." Haziq yang berada berhadapan dengan meja Airin sedikit berjenaka sambil menyusun peralatan dengan cermat.

"Nak tanya awak boleh?" Pertanyaan itu diikuti dengan anggukan kecil sang jejaka itu.

"Bila awak bersembang dengan saya bahkan hampir dengan semua perempuan susah nak tengok awak pandang muka, kenapa?" sambungnya.

"Owh, macam ni.. Islam mengajar kami untuk menjaga pandangan mereka terhadap yang bukan mahram, maksudnya macam saya dengan awak, dan perempuan yang lain yang tiada pertalian darah dengan saya, tetapi tak adalah sampai terlanggar tiang atau terhantuk dinding, cuma sekadar mengelakkan berlakunya perkara yang tidak elok," Haziq mempermudahkan penerangan untuk difahami.

"Hmm, tapi kenapa zaman sekarang ni yang dikatakan zaman yg tinggi ilmunya, canggih teknologinya , tapi banyak pula kes-kes macam yang awak kata waktu perjumpaan PA hari tu. Sedangkan kita semua diajar dengan pendidikan agama sejak sekolah, dan hampir semua dikatakan mempunyai agama masing-masing, bukankah agama itu mengajar kepada kebaikan?!" sedikit tinggi nada gadis itu.

"Kalau macam ni nampaknya awak salahkan prosedur eksperimen yang menggagalkan produk awak berbanding pelaku eksperimen" sindir Haziq

"Saya tak faham, maksudnya?" Airin kembali tenang

"Airin... dalam membuat eksperimen, kita telah diberi segala prosedur dan senarai barangan yang patut kita gunakan. Cuma kadang-kadang kita nak cepat siap sampai abaikan beberapa langkah atau tidak berhati-hati, cuai dan leka. Apabila gagal kita akan meyalahkan prosedur yang leceh dengan mengatakan, tak faham, pelik dan sebagainya sedangkan semua itu silap kita sebagai pelaku," Haziq petah menggunakan analogi yang amat yakin Airin akan fahami.

"Menarik... saya faham analogi awak, tapi apa kaitan dengan apa yang kita bincang tadi? " Airin meminta kepastian.

"Macam dalam situasi sekarang, unsur-unsur barat yang sekular memisahkan agama dari aspek keduniaan telah menguasai dunia, memang kemajuan secara fizikal yang kita nampak, tapi akhirnya dunia barat sendiri mengakui, lama-kelamaan masalah sosial telah meningkat, mereka mula pening memikirkan bagaimana untuk menghidupkan generasi sekarang yang telah lemas terkapai-kapai, dan negara kita, masyarakat kita, bahkan diri kita sendiri telah terkena kesannya," Haziq berhenti seketika sambil menghela nafas.

"Awak telah melihat dan telah menyalahkan agama kerana pelaku yang tidak bertanggungjawab, sedangkan agama telah menyediakan aturcara yang hidup yang lengkap, Islam sendiri mengajak penganutnya mengejar dunia tanpa meninggalkan kebajikan untuk dunia selepas mati, maafkan saya andai kata-kata saya sedikit melukakan hati awak," sambung Haziq.

"Maafkan saya, betul kata awak, dahulu semua tamadun bangkit kerana agama tetapi sekarang tamadun pada masa kini dibina kerana mengejar keduniaan semata menyebabkan agama dipinggirkan, tapi awak tak faham apa yang berlaku dalam hidup saya!!" Sekali lagi air mata gadis itu mengalir.

Kali ini gadis itu terus berlalu pergi meninggalkan Haziq dengan seribu persoalan. Amir Haziq menyusuri pemergian itu dengan mesej yang dihantarnya, melalui sms. 'Saya adalah sahabat anda, saya sudi mendengar apa yang terpendam dalam hati anda, jangan takut akan masalah yang datang tapi hadapilah demi membina jalan yang terbaik untuk masa hadapan, sama-sama kita membina jalan itu'.

..............................................................................................................................

Jam menunjukkan tepat 12 tengah malam, secawan kopi sederhana pekat menjadi teman penyegar mata yang meminta-minta untuk dilelapkan, di hadapan komputer bimbit, jari-jemari sang pemuda lincah menekan papan kekunci. Sesekali beberapa nguapan kecil yang dilindunginya dengan tangan disusuli dengan ucapan istirfar. Di atas meja itu, beberapa ruang dipenuhi oleh bahan bacaan berbentuk ilmiah seperti, buku motivasi, novel, al-Mathurat, dan sebuah al-Quran kecil berwarna merah terletak rapi di sudut hujung meja.

Amir Haziq masih lagi tekun menyusun, menghapus dan mengemas kini folder-folder mengikut keselesaan. Skrin komputer bimbitnya yang dahulunya berserabut kini mula tersusun kemas.

Kling!!!!!! Bunyi tersebut menandakan satu mesej telah masuk ke dalam peti simpanan. Mata Amir Haziq kembali segar dengan beberapa persoalan menjengah ruang minda. Siapa yang mesej aku malam-malam buta ni? Lagipun semester pun dah tamat. Tetikus digerakkan ke butang peti simpanan lantas terpapar nama penghantar 'Princess_airin'.

"Haziq, Terima kasih atas mesej awak hari tu, saya rasa segan kerana menangis di hadapan awak. Terima kasih kerana menganggap saya sebagai rakan awak. Haziq, saya tak tahu kenapa tapi saya rasa saya boleh percayai awak, yakin dengan awak untuk saya menceritakan segala yang terpendam dalam hati ini.

Ayah dan ibu saya adalah berbangsa Cina, mereka berkahwin setelah terlanjur dalam perhubungan, dan lebih malang ibu saya telah mengandung pada ketika itu. Ayah saya adalah seorang kaki perempuan dan juga seorang penganggur yang suka menghabiskan masanya dengan berjudi dan minum arak sehingga mabuk. Manakala ibu pula seorang gadis liar pada ketika itu.

Ayah saya memaksa ibu saya untuk menggugurkan kandungan kerana mereka bukanlah saling mencintai dan telah mengandungkan saya tanpa niat. Tapi bila atuk saya mengetahui tentang perkara ini dia melarang ibu saya dari melakukan proses penguguran tersebut.

Atas desakan atuk, ibu dan ayah melangsungkan perkahwinan dalam majlis yang meriah kerana menyayangi ibu sebagai anak tunggalnya. Atuk berharap sikap ibu dan ayah akan berubah setelah berumahtangga. Setelah ibu melahirkan, dia membiarkan saya dalam jagaan nenek dan atuk.

Setelah saya berusia 13 tahun, atuk dan nenek pergi selamanya dalam suatu kemalangan dan saya tinggal bersama ibu. Ibu yang mewarisi perniagaan atuk sering pulang lewat ke rumah. Ayah pula akan pulang apabila kehabisan wang dan dia sering pulang dalam keadaan mabuk dan kadang- kala dibawanya perempuan lain ke rumah.

Lebih malang lagi sesekali ayah akan membawa perempuan melayu untuk melakukan perbuatan keji dan jijik itu. Apabila Melayu sudah tentulah Islam! Lantas sejak itulah saya mebenci Islam dan semua agama di atas muka bumi ini. Disebabkan itu apabila setiap kali di sekolah saya akan membantah dan mencaci setiapkali isu agama diperbincangkan dalam sesi pembelajaran. Disebabkan itu saya tidak mempunyai rakan.

Di rumah seringkali saya menjadi mangsa penderaan ayah. Pernah suatu hari saya cuba diperkosa namun berjaya menyelamatkan diri. Sejak itu saya membenci ayah.

Ibu pula tidak pernah mengambil berat, mungkin kerana saya adalah hasil dari keterlanjuran tanpa cinta. Ibu hanya memberi wang saku bulanan ke dalam akaun simpanan.

Saya hidup dengan kemewahan tetapi tidak pernah merasai kasih sayang dari ibu dan bapa.

Sayalah anak yang dikatakan HARAM di sisi manusia, anak yang membenci kepada ibu bapa, tidak percaya kepada lelaki, tidak percaya kepada rakan-rakan, anak yang merasakan tiada keadilan di dunia ini, yang merasakan dunia ini adalah kejam dan keji, seolah-olah agama tidak perlu wujud di dunia ini.

Tapi saya amat berterima kasih dengan Nabiha kerana sentiasa bersabar dengan karenah saya selama saya menjadi teman sebilik dengannya. Walaupun pada mulanya saya langsung tidak mengendahkannya namun dia tak pernah membenci saya. Dan kebencian saya dia hilang apabila suatu hari saya jatuh sakit dan hanya dia yang sudi menjaga saya di hospital. Waktu itu saya mula merasai kasih sayang seorang rakan.

Awak pula Haziq, saya tak tahu kenapa dengan saya akhir-akhir ini, saya berasa senang untuk bertanya dengan awak, senang melihat cara awak dalam berurusan. Membuatkan hati saya tersentuh dengan perlakuan yang sederhana.

Awak tidak seperti beberapa orang Islam yang sebelum ini cuba mengajak saya ke dalam Islam. Ada antara mereka yang sering memarahi saya ketika saya mencaci Islam. Tetapi awak tidak, awak tidak pernah memarahi saya. Bahkan saya yang sering memarahi awak.

Jujur pada mulanya saya benci awak sebagaimana saya telah hilang kepercayaan terhadap lelaki. Tapi awak telah hilangkan kebencian itu dengan kesederhanaan awak. Daripada saya yang menolak sebarang kepercayaan, awak telah mengubah saya tentang perlunya Tuhan.

Jujurnya saya telah jatuh hati pada awak. Jika awak tidak keberatan saya sudi untuk menjadi isteri dan mempelajari apa itu Islam. Maafkan saya andai saya mengganggu awak. Selamat malam."

Hati Haziq sebak dengan apa yang menimpa gadis itu, ada air mata yang terbit dari pupuk mata. Namun ayat-ayat yang terakhir membuatkan hati Haziq berdebar-debar. Lantas tangannya menari rancak di atas papan kekunci

"Airin, terima kasih memberikan kepercayaan awak kepada saya, jujur mendengar cerita awak membuatkan saya sedih sehinggakan air mata saya turut mengalir. Benar, saya tidak mengajak awak kepada Islam, tetapi saya mengajar awak dengan Islam. Saya yakin andai kefahaman terpahat dalam hati awak nescaya awak sendiri akan tertarik akan Islam.

Terima kasih juga kerana meluahkan perasaan kepada saya, saya yakin cinta awak suci, namun hati ini sudah dimiliki. Saya meminta maaf kerana tidak dapat menerima kesudian awak terhadap saya dalam situasi begini. Saya meminta agar kita terus bersahabat dan jika awak ingin mempelajari Islam saya berjanji saya akan membantu awak setakat selayaknya saya.

Selamat malam sahabat."

Airin yang baru sahaja membaca mesej tersebut tidak tertahankan air mata dari mengalir sambil hatinya berbicara "Dia seorang lelaki yang baik dan aku bukanlah layak baginya".

......................................................................................................................................

Di pengakhiran semester sudah menjadi lumrah jemaah pelajar yang akan mengisi ruang solat Masjid Sultan Ismail akan berkurangan. Masjid tiga tingkat yang terletak di tengah-tengah Universiti Teknologi Malaysia menjadi lambang nadi pendidikan. Di bawah lampu chandeliar yang juga ruang tengan masjid itu terdapat seorang hamba Ilahi yang tenggelam dalam keasyikannya berdoa sesudah melakukan ibadat sunat ba'diah selepas solat Isya' yang dilakukan secara berjemaah sebentar tadi.

"Assalamualaikum, Abang Haziq. Kaifahaluka?" beberapa pemuda datang menghampiri menghulurkan salam lantas duduk berhampiran dengan Haziq membentuk bulatan kecil.

"Waalaikumussalam, Alhamdulillah, anabilkhair, kamu semua sihat?" sedikit tersenyum Haziq menjabat salam yang diberi.

"Kami semua insya-Allah sihat je Abang Haziq, Abang bila pulang ke rumah?" Kamil Alif memulakan bicara.

"Insya-Allah esok malam."

Haziq merupakan bekas Exco Kerohanian di Fakulti Sains dan sering melibatkan diri dalam beberapa program Islamik yang dianjurkan dalam universiti. Sikap yang sederhana sentiasa membuatkan dia disenangi ramai orang.

"Dengar cerita, Abang kemungkinan besar akan bergraduan dengan first class degree, kongsilah dengan kami sedikit tips yang dapat dipraktikkan dan amalkan bersama dalam gerak kerja kami kelak" pintas Hafiz Hakimi disambut ketawa kecil oleh yang lain.

Haziq merupakan pelajar yang disegani kerana dia dapat mengimbangkan prestasi akademik dan juga aktiviti berpersatuan dan sentiasa mendapat keputusan peperiksaan dengan pointer kelas pertama sepanjang tahun pengajiannya.

"Mana tahu ini kali terakhir kami dapat bersama dengan Abang, lepas ni mungkin Abang jadi 'orang besar' sampai tak teringatkan kami di sini," Amran juga tidak melepaskan peluang untuk berkata-kata.

Kamil, Arif, Hafiz dan Amran merupakan pimpinan majlis tertinggi dalam salah sebuah persatuan Islamik dalam universiti itu. Kebanyakan mereka pernah bergerak kerja dengan Haziq dalam program-program kerohanian. Disebabkan itu mereka amat rapat walaupun berbeza umur dan kos pembelajaran.

" Abang rasa, kamu semua lagi arif dalam sudut dalil naqli berdasarkan hadis dan al-Quran, Abang tidak perlu katakan lagi. Tapi dari sudut aqli, Abang kurang menyenangi dua sikap mahasiswa dalam menuntut ilmu."

Kata-kata Haziq berjaya menarik lagi perhatian empat bersahabat itu.

"Pertama, Abang cukup tidak suka apabila terdapat sesetengah daripada kita berpendapat bahawa melakukan aktiviti berpersatuan, berdahwah, berusrah merupakan pembaziran masa dan kita di sini perlu tumpukan sepenuh perhatian kepada urusan pembelajaran semata-mata".

"Kedua, Abang tidak berapa gemar apabila antara kita yang terlampau sibuk melakukan aktiviti, dikatakan faqih dengan Islam. Namun apabila mereka tidak berjaya dalam peperiksaan, mereka akan mengatakan semua ini adalah dunia, tidak penting, sekadar lulus tidak mengapa," kesemua mendengar menganggukkan kepala.

"Amran, cuba buka surah al-Qasas kalau tak silap Abang, ayat ke-77 dan bacakan makna ayat," Amran tanpa berlengah membuka cermat dan melopori muka ayat yang ingin dicari.

"Carilah apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu kebahagiaan kampung akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu daripada kenikmatan dunia." Amran membaca ayat tersebut satu persatu.

"Allah sendiri menyuruh kita seimbangkan dunia akhirat. Abang bukanlah sentiasa berjaya, Abang pernah gagal suatu ketika dahulu. Abang juga pernah berada dalam kejahilan. Musuh utama kita adalah diri sendiri. Abang sentiasa berpegang, andai Abang gagal, Abang tidak mahu gagal dalam penyesalan. Biarlah Abang gagal setelah Abang berusaha sehabis mungkin." Haziq menghabiskan ucapannya.

"Benar, sedangkan wahyu pertama yang turun juga adalah surah al-Iqra yang menyuruh Baginda membaca." Kamil menyokong.

"Saya teringat satu hadis di mana amalan anak Adam yang tidak akan putus hingga akhirat ada tiga perkara, doa anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat." Hafiz menambah.

"Sedangkan Baginda S.A.W. menyatakan 'sampaikanlah padaku walau satu ayat' betul tak?" semua berada di situ mengangguk akan pendapat yang Arif berikan. Malam itu ukhwah antara mereka semakin terikat erat.

Malam itu Haziq pulang dari masjid ke kolej penginapan dengan berjalan kaki kerana motorsikalnya sudah dihantar ke rumah pada pagi tadi. Walaupun tadi dia dipelawa untuk ditumpangkan oleh sahabat berempat yang berhalaqah di masjid, namun dia menolaknya dengan alasan ingin mengambil angin buat saat-saat akhir bergelar mahasiswa di universiti itu.

Entah mengapa malam itu langit bumi UTM penuh dengan bintang. Jalan-jalan fakulti yang disusuri dirasakan sunyi sekali, lampu yang terpasang sangat sedikit, tidak seperti hari-hari kuliah menandakan kebanyakan pelajar telah pulang ke rumah.

Lampu jalan utama pula kebanyakan tidak terpasang tanpa tahu apa sebabnya. Sewaktu menuruni jalan yang berbukit menghampiri jalan utama, Haziq melihat sebuah kenderaan yang tidak berlampu mungkin kerana rosak sedang dipandu laju keluar dari selekoh Arked Meranti.

Dalam kesamaran itu juga dilihat seseorang berpakaian gelap sedang melintas menyusuri jalan utama. Haziq merasakan yang pemandu kenderaan tersebut tidak akan sempat mengelak kerana keadaan jalan yang gelap. Haziq berlari pantas sambil menjerit ke arah insan tersebut.

Bummm!!!!!! Haziq tercampak ke belakang kenderaan. Darah mengalir dari telinga dan hidung. Gadis yang melintas berjaya ditolak ke tepi. Tetapi Haziq tidak sempat melonjakkan diri mengelak dari dilanggar. Gadis itu seakan dikenali. Ya, gadis itu adalah Airin.

"Haziq!!!" dengan spontan Airin berlari mendapatkan Haziq. Dia keliru, dia takut, tidak tahu berbuat apa-apa. Cuma air mata yang mengalir. Pemandu kenderaan yang melanggar tadi telah memecut pergi, mungkin kerana takut. Tiada kenderaan lain yang lalu lalang. Airin berlutut di sisi Haziq sambil menjerit meminta pertolongan. Tangannya yang terkulai itu bergerak-gerak seakan menunjuk ke arah beg bimbit kecil yang selalu dibawanya. Beg itu tercampak tidak jauh sisi Haziq.

"Ashadu allaa ilaaha illa (A)llaah, wa ashadu anna Muḥammada(n) rasuulu (A)llaah," Perlahan kalimah itu diulangi payah beberapa kali oleh Haziq seakan-akan syahadah itu bukanlah untuknya tetapi adalah milik Airin.

Beberapa kali darah tersembur keluar dari mulut Haziq. Dengus demi dengus semakin kasar kedengaran. Tidak ubah seperti haiwan yang mendengus selepas baru sahaja disembelih. Namun di saat itu kalimah 'Lailahaillallah' masih meniti di bibir tanpa henti.

Sebuah kereta sewa berhenti untuk memberikan pertolongan, namun belum sempat diangkat masuk Haziq telah menghembuskan nafasnya buat kali yang terakhir. Gadis itu bingung, cuma air mata yang mengalir deras membasahi pipi.

"Ya Allah, aku memohon kepadamu tempatkanlah dia di kalangan orang yang mendapat keredhaan-Mu, kurniakanlah dia bidadari Syurga yang layak baginya, dan kurniakanlah diri ini keampunan dan hidayah-Mu," pohonnya dengan khusuk.

.........................................................................................................................................

Amirah Haziqah binti Abdullah, nama yang menggantikan nama dulunya Airin, nama yang diambil sewaktu gadis itu mengucapkan syahadah menjadi kenangan buat Amir Haziq yang membantunya mencari sinar di sebalik kegelapan hidup dirinya. Gadis itu masih berteleku di atas sejadah menyelak helaian al-Quran tafsir kecil berwarna merah kepunyaan Haziq. Sesudah selesai dia membuka sebuah diari lusuh yang menjadi temannya mengumpul kekuatan.

"Selamat malam diari kesayanganku, malam ini engkau sekali lagi berjasa untuk aku meluahkan perasaanku, gadis itu.. Airin telah menceritakan kisah hidupnya kepadaku, aku tidak dapat menahan air mataku dari tumpah apabila mendengar ceritanya. Aku amat simpati terhadapnya. Apa yang mampu aku lakukan? Aku juga insan biasa.

Tidak!!! Dia tidak jijik. Bahkan dia seperti bayi yang suci andai hidayah Allah miliknya. Diariku, hati ini telah dilamar oleh dia, aku cukup takut andai aku mendekatinya bukan kerana ikhlas mengajarkan Islam tetapi aku takut aku dekat padanya kerana hawa nafsu..

Airin, Benar hati ini sudah dimiliki.. Hati ini telah dimiliki oleh Allah dan Rasul-Nya.. Dan hati ini sentiasa inginkan agar hati engkau juga dimiliki-Nya.. Aku benar berharap kalimah suci 'lailahaillallah' meniti di bibirmu.. Berkongsi syahadah yang suci bersamamu.. Andai sesuci syahdah itu menjadi milikmu... Aku akan melamarmu menjadi teman hidupku.. Ya Allah sesungguhnya kepada-Mu lah hamba-Mu ini berserah.. Ampunilah dosa ibu dan ayah yang membesarkan.. Kurniakanlahku keluarga yang bahagia.. Isteri yang solehah.. Keturunan yang mencinta-Mu.. Dan kurniakanlah kami kebahagiaan dunia akhirat.. Kekalkanlah syahadah suc-Mu ini di hati kami..

Ameeennn..

Diari lusuh itu ditutup rapat kembali, air mata yang bergenang diseka lembut. Itulah tulisan terakhir Amir Haziq yang ditulis di dalam diarinya. Diari dan sebuah Al-Quran tafsir merah kecil diberikan keluarga Haziq kepadanya kerana merasakan bahawa dialah yang layak menyimpannya.

Dalam hatinya berkata, "Haziq terima kasih kerana engkau membantu ku merasai nikmat yang kau ingin kongsi bersamaku, terima kasih kerana engkau membenarkan hatiku dimiliki pemilik hatimu, akan kubawa syahadah yang suci ini sentiasa bersamaku."

Amirah merenung ke luar jendela. Di luar jendela hujan yang renyai telah berhenti. Mentari mula terbit di ufuk timur, pelangi yang indah merentasi langit. Di dalam hatinya bertasbih memuji kehebatan ilahi. Dia kini yakin bahawa setiap ujian yang datang ada hikmahnya.

-Artikel Iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan